KUANTAN 18 Okt. - Para graduan diingatkan supaya berfikir secara
kritikal dalam menilai dan membuat sebarang keputusan terhadap sesuatu perkara
yang dilakukan oleh mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, keperluan itu
penting memandangkan arus globalisasi yang menuntut graduan lebih berkualiti
dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan mereka.
Menurut beliau, memiliki segenggam ijazah atau diploma tidak cukup
menyakinkan para majikan dan kemahiran lain diperlukan supaya mereka dapat
berdaya saing dalam dunia pekerjaan.
"Graduan diingatkan bahawa penerimaan diploma atau ijazah
bukan menandakan mereka tamat pengajian.
"Ilmu pengetahuan mesti sentiasa dicari dan tingkatkan
kemahiran selari dengan perkembangan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen
Kolej Antarabangsa IKIP di Dewan Jubli Intan Perak Sultan Haji Ahmad Shah di
sini baru-baru ini.
Seramai 667 graduan menerima ijazah sarjana, ijazah sarjana muda
dan diploma masing-masing pada majlis tersebut.
Adnan yang juga Pengerusi Yayasan Pahang berkata, keperluan itu
secara tidak langsung dapat memberi nilai tambah kepada diri sendiri dan
kelebihan dalam menempuhi alam pekerjaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan tersebut tidak
terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan dalam Internet kerana kadangkala ia
menunjukkan fakta tidak benar.
Katanya, pelbagai maklumat disalurkan dalam dunia siber dan
seharusnya graduan perlu menilai secara mendalam dan berfikiran kritikal dalam
membuat keputusan.
"Kalau boleh sentiasa semak dan cari fakta sebenar kerana
kadangkala terdapat maklumat tersebut berbentuk fitnah dan ia tidak baik kepada
kita dan masyarakat sekeliling," jelasnya.
Justeru, beliau berharap, golongan terbabit tidak terpengaruh
dengan dakyah tersebut dan menjadi seorang graduan intelektual bagi menjana
kesejahteraan masyarakat.
Artikel Penuh: ~utusan on9~
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment