ARKIB : 22/05/2009
Islam menuntut pembelajaran sepanjang hayat
Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI
LAPORAN oleh Paul Lengrand dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dianggap sebagai perintis
kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat. Tetapi sebenarnya konsep itu tidak
asing dalam Islam.
Islam tidak bermula dengan arahan untuk menyembah Allah SWT sebagai pencipta
makhluk tetapi dengan suruhan membaca. Islam merupakan agama yang teliti dan
ketelitian itu bermula dari peringkat pengenalan lagi.
Manusia perlu mengenali Tuhannya dengan ilmu. Selanjutnya, manusia harus
terus menyusuri hidup dengan pembelajaran secara berterusan. Ia bukan sahaja
dapat memastikan kelangsungan hidup tetapi hidup secara bermaruah dan bermakna.
Itulah sebabnya Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan
oleh Ibn Abd al-Barr bahawa mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan setiap
Muslim. Kewajipan mencari ilmu itu seharusnya difahami sebagai proses sepanjang
hayat.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, Abu Na'im dan Ibn Abd al-Barr,
Baginda menyatakan bahawa tidak ada makna bagi hari yang dilalui sekiranya
tidak berlaku penambahan ilmu yang sifatnya boleh menambah nilai ketaqwaan.
Sebenarnya, banyak ayat al-Quran dan sunnah Nabi SAW yang menggesa umat
Islam untuk mencari ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Malah, bagi mereka yang
memasuki dunia pencarian ilmu, Allah SWT menjanjikan banyak pahala dan
kedudukan yang baik.
Antara kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan ilmuwan ialah
seperti yang dalam ayat 18 Surah Ali Imran yang menjelaskan bahawa kesaksian
tentang kewujudan Allah 'Azza wa Jalla adalah (melainkan) Diri-Nya sendiri,
para malaikat dan orang-orang yang berilmu pengetahuan.
Imam al-Ghazali menyatakan, ayat ini sudah cukup membuktikan betapa mulia
dan utama kedudukan yang diberikan Allah SWT kepada orang-orang yang berilmu.
Seharusnya kita menginsafi bahawa di akhirat nanti menanti anugerah dan
ganjaran. Ilmu yang ditimba banyak memberi manfaat kepada diri sendiri. Apabila
ia memberi manfaat kepada diri, ia juga merantaikan manfaat kepada masyarakat
dan negara. Oleh itu, tenaga dapat dimaksimumkan. Keadaan ini akan membentuk
sebuah negara yang cekap dalam membuat pilihan dan keputusan.
Dalam proses pembelajaran sepanjang hayat terdapat empat tunjang iaitu pembelajaran
untuk mengetahui, pembelajaran untuk melakukan, pembelajaran untuk menjadi apa
atau siapa dan pembelajaran untuk tinggal bersama.
Empat tunjang ini membentuk proses pembelajaran yang sempurna.
Selanjutnya banyak proses pembelajaran untuk golongan dewasa berlaku secara
tidak formal dan ini memang suatu realiti kehidupan manusia.
Apa yang berlaku di sekeliling kita adalah suasana serta keadaan yang sangat
radikal daripada sudut transformasi sosial. Keadaan ini menyebabkan
perubahan-perubahan ketara terhadap tabii kerja dan gaya hidup.
Perubahan ini menjadi cabaran kepada semua orang dan hanya melalui
pembelajaran yang berterusan, cabaran dapat diatasi. Bukan itu sahaja, apabila
ia boleh betah dengan keadaan yang telah berubah, ilmu yang dimiliki akan
menjadikan cabaran itu dapat diolah semula sebagai sesuatu yang memberi manfaat
dan kesenangan.
Antara contoh mudah ialah, apabila terdapat hasil teknologi baru yang
diperkenalkan kepada golongan pekebun yang telah berumur dan teknologi tersebut
boleh memberi kesenangan kepada pekerjaan mereka.
Golongan pekebun ini mempunyai pilihan untuk membiarkan sahaja kehadiran
peralatan tersebut dan meneruskan amalan secara tradisi. Akan tetapi sekiranya
mereka memanfaatkan teknologi tersebut, sudah pasti produktiviti akan
bertambah. Masa dapat dijimatkan dan memberi tambahan masa berkualiti untuk
keluarga serta bermasyarakat, dan seterusnya kehidupan mereka akan bertambah
senang.
Bagi membentuk rakyat negara ini sebagai masyarakat yang menjadikan
pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya, kerajaan telah meletakkan tumpuan
dan keprihatinan yang tinggi menerusi Rancangan Malaysia 2006-2010. Dalam satu
laporan oleh UNESCO, terdapat cadangan untuk membangunkan masyarakat yang
prihatin dalam pencarian ilmu, iaitu semua agensi yang terdapat dalam
masyarakat yang terlibat menjadi penyumbang kepada pendidikan dan perubahan
pendidikan.
Sementara itu, semua ahli masyarakat diberi galakan untuk melibatkan diri
dalam proses pembelajaran tanpa had masa. Namun, sebagai warga yang mendakwa
telah memiliki pemikiran dan jiwa yang merdeka, kita sepatutnya tidak perlu
menunggu saranan, dasar atau sebarang polisi untuk bertindak. Kesedaran itu
sepatutnya telah menjadi darah daging dan ia diturunkan kepada generasi muda
seawal mungkin.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-undang dan
Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
RUJUKAN : jom tengok kat sini..^_^
© Utusan Melayu (M) Bhd
[nukilan siti aisyah]
No comments:
Post a Comment